Tuesday 22 November 2011

Aturan Allah itu sangat cantik dan sempurna

بسم الله الرحمن الرحيم


Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Hampir 5 bulan usia perkahwinan kami, lumrah hidup bila belum berkahwin orang akan bertanya bila hendak berkahwin, bila sudah berkahwin mestilah soalan ‘famous’ bila akan mendapat cahaya mata? Ya, mungkin ada yang berangapan 5 bulan terlalu awal untuk memikirkan tentang cahaya mata. Tetapi kami juga seperti pasangan-pasangan lain yang memang mendambakan cahaya mata. Dikalangan rakan-rakan yang mendirikan rumah tangga, boleh dikatakan saya seorang sahaja yang belum dikurniakan rezeki untuk mengandung. Ya, sungguh kadang-kadang perasaan cemburu itu menghasut diri saya. Bila ada juga rakan yang lagi lambat mendirikan rumah tangga dari saya sudah berada di fasa mengandung, hati saya menjadi lagi sayu dan sebak. Kita wanita, mulalah berfikiran yang negatif dan wanita sangat tidak boleh lari dengan air mata.
InsyaAllah selepas maghrib, selalunya saya dan suami akan membaca Al-Quran bersama, dan kebetulan surah Al-Baqarah menjadi pilihan kami. Ada satu ayat yang menarik minat saya untuk saya kongsikan.
” ..boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2:216)
Saya dan suami sangat menginginkan cahaya mata pada waktu ini, mungkin Allah merancang sesuatu yang lebih baik untuk kami. Jika difikirkan kembali, saya dan suami kini jauh di perantauan, jauh dari kaum keluarga, mungkin belum waktu yang sesuai untuk saya mengandung. Pada bulan Mac tahun hadapan, saya dan suami juga terpaksa berpisah untuk seketika kerana saya akan pulang ke tanah air sendirian, mungkin Allah tidak mahu saya mengandung dalam keadaan saya keseorangan di tanah air. Mungkin juga Allah mahu menguji sejauh mana tahap kesabaran dan ketabahan saya menerima ujianNya. Semua itu kemungkinan tetapi saya perlu memujuk hati saya dan saya juga percaya yang Aturan Allah itu sangat cantik dan sempurna.Tetapi, saya dan suami tidak akan berhenti berusaha, dan tidak akan berhenti berputus asa.
“…Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya orang yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir.” ( Yusuf, 12:87)
Kisah ini saya kongsikan untuk anda untuk kita sama-sama yakin dan percaya, Aturan Allah itu sangat cantik dan sempurna. InsyaAllah.

5 comments:

  1. sabar ye..insya Allah, Allah tau ape yg terbaik utk hamba-Nya :)

    ReplyDelete
  2. setiap yg blaku pasti ada hikmahnya

    ReplyDelete
  3. ''Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.''(surah Ali-Imran:146)
    ~akak,Allah suka kpd org yang sabar..walaupun situasi kita berbeza..tetapi saya pun yakin dan yakin dengan aturan Allah ini..kerana Allah x kan menzalimi umatnya..tu pesan ibu saya..InsyaAllah rezeki akak tetap ada..

    ReplyDelete
  4. Terima kasih semua :))
    InsyaAllah.. doa2 kan la..

    ReplyDelete
  5. InsyaAllah, Dia pasti menjanjikan yang terbaik utk hamba yg sabar...;)..Semoga dikurniakan zuriat yg soleh dan solehah..amin...;)

    ReplyDelete